
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, Sabah menjadi penerima terbesar projek pembangunan infrastruktur di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela).
“Dengan pelaksanaan projek itu juga, ia bakal menjadikan kemudahan jalur lebar untuk seluruh penduduk di Sabah setanding dengan kemudahan yang disediakan di negeri lain di Malaysia.
“Sejumlah 419 menara baru akan dibina dan 1,972 pemancar sedia ada akan dinaikkan taraf kepada 4G.
“Di samping itu, liputan talian tetap gentian optik akan diperluaskan yang melibatkan 251,166 premis di seluruh negeri Sabah dengan inisiatif berkenaan dianggarkan membabitkan kos RM2.45 bilion,” katanya ketika berucap sempena pelancaran Gerbang Sabah, di sini, hari ini.
Gerbang Sabah ialah stesen pendaratan kabel gentian optik di dasar laut di Tanjung Aru, dekat sini.
Muhyiddin berkata, keperluan internet menjadi semakin kritikal ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Pergerakan secara fizikal dikawal untuk mencegah penularan jangkitan wabak ini dan kesannya permintaan terhadap perkhidmatan internet meningkat secara mendadak.
“Ramai yang memilih untuk melakukan pelbagai transaksi secara atas talian bagi mengelakkan sentuhan fizikal dan ini adalah sebahagian daripada norma baru kehidupan yang saya percaya akan menjadi budaya hidup saudara dan saudari pada masa hadapan.
“Keadaan ini mendorong kerajaan untuk melakukan kajian semula penyediaan perkhidmatan internet jalur lebar yang lebih menyeluruh dan pantas dan kerajaan bersama syarikat-syarikat perkhidmatan telekomunikasi telah mengadakan perbincangan untuk mencari kaedah terbaik dalam menyediakan infrastruktur jalur lebar yang mantap kepada semua rakyat tanpa ada yang tertinggal,” katanya.
Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah