584 ditahan ingkar PKPP, termasuk 292 di kelab malam

584 ditahan ingkar PKPP, termasuk 292 di kelab malam

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, 568 daripadanya didenda dan 16 lagi direman.

Ismail Sabri Yaakob berkata, 65 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan 10 kenderaan disita dalam 81 sekatan jalan di seluruh negara semalam.
PETALING JAYA:
Seramai 584 orang ditahan kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan pemulihan semalam, termasuk 292 individu di kelab malam dan pub, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Daripada jumlah itu, 568 orang dikompaun dan 16 lagi direman.

Beliau berkata, antara kesalahan dilakukan mereka membabitkan aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal (224), ingkar perintah kawalan pergerakan diperketatkan (18), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (17), tidak memakai pelitup muka (14), ceroboh kawasan larangan (13) dan premis beroperasi lebih masa (6).

Katanya, 65 pendatang asing tanpa izin, 3 penyeludup dan 3 tekong turut ditahan serta 10 kenderaan disita menerusi 81 sekatan jalan di seluruh negara semalam.

“Daripada jumlah itu, di Kompleks Rakan Muda, Bandar Penawar, Johor, angkatan tentera menahan 27 PATI atas kesalahan cuba keluar dari Malaysia melalui jalan tidak diwartakan.

“Di Rantau Panjang, Kelantan, polis menahan seorang lelaki tempatan kerana terlibat dengan aktiviti penyeludupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata, seramai 29,748 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai sehingga semalam ditempatkan di 71 hotel dan 8 premis lain, termasuk institut latihan awam serta institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Katanya, seramai 9,517 orang masih menjalani kuarantin wajib, manakala 71 orang dihantar ke hospital untuk dirawat.

Seramai 20,160 orang dibenarkan pulang ke rumah selepas selesai kuarantin wajib 14 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.