PRN Sabah: Calon tetap semangat kempen walaupun banjir

PRN Sabah: Calon tetap semangat kempen walaupun banjir

Hujan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Penampang dan Papar dinaiki air.

Janrywine Liusin (baju-T jingga) melawat penduduk terjejas akibat banjir kilat di pekan Kinarut.
KOTA KINABALU:
Banjir kilat di Penampang dan Papar hari ini tidak mematahkan semangat calon bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan berkenaan.

Penghibur yang kini ahli politik Janrywine Liusin, 42, bertanding di kerusi Kawang dalam Parlimen Papar berkata, kempennya mungkin dihalang oleh banjir kilat.

“Namun, saya masih dapat bertemu penyokong di pekan Kinarut, yang merupakan salah 1 kawasan terjejas pagi ini,” katanya yang mewakili LDP.

Beliau gembira apabila penduduk di situ teruja dapat bertemunya.

“Walaupun dalam banjir, penduduk masih mahu bergambar bersama saya. Saya masih bersemangat walaupun pergerakan agak terhalang,” katanya kepada FMT.

Hujan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Penampang dan Papar dinaiki air, namun keadaan bertambah baik pagi tadi.

Janrywine mendakwa, Kinarut menjadi kawasan terdedah banjir sejak 3 tahun lalu dan kerajaan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebelum ini gagal menangani masalah itu.

“Kalau saya dipilih sebagai Adun, saya akan memastikan sistem saliran ditambah baik. Saya juga mahu sebuah pejabat Angkatan Pertahanan Awam dibina di sini,” katanya.

Sementara itu, calon kerusi Moyog di Parlimen Penampang John Chryso Masabal berkata, hujan lebat menjejaskan kempennya semalam dengan hanya beberapa orang menghadiri ceramah.

“Kami berharap cuaca akan bertambah baik esok apabila kami bertolak ke kawasan pedalaman Penampang di Terian dan Buayan, yang hanya dapat dihubungkan melalui jalan tidak berturap.

“Hari ini, kami juga ke 2 lokasi yang agak jauh. Walaupun berdepan cabaran saya dan pasukan saya gembira bertemu penduduk di situ,” katanya yang mewakili PBS.

Salah seorang pencabar Masabal di Dun itu, Darell Leiking, yang juga ahli Parlimen Penampang, turut meluangkan masa melawat penduduk terjejas dan mengarahkan pasukannya membersihkan kawasan berkenaan.

Timbalan presiden Warisan itu berkata, masalah banjir di Penampang masih belum selesai dan kerajaan persekutuan perlu mendedahkan status projek tebatan banjir di kawasan berkenaan.

“Kerajaan negeri mendedahkan sebelum ini berapa banyak ia membelanjakan dalam menangani masalah ini dan kerajaan persekutuan juga harus berbuat demikian. Setiap orang mesti memainkan peranan,” katanya.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.