Saya bukan pengganas, kata calon Warisan di Sekong

Saya bukan pengganas, kata calon Warisan di Sekong

Ia susulan penyebaran sekeping gambar di media sosial sejak semalam mendakwa Alias Sani ialah bekas militan yang menetap di Sandakan.

Alias Sani berkata, beliau pernah ditahan pada 2003 hingga 2007, tetapi tidak pernah dibicarakan dan disabitkan bersalah.
SANDAKAN:
Calon Warisan di DUN Sekong, Alias Sani menafikan dakwaan beliau ialah pengganas, selepas sekeping gambar tersebar di media sosial sejak semalam mendakwa dirinya ialah bekas militan yang menetap di Sandakan.

Katanya, beliau pernah ditahan pada 2003 hingga 2007, tetapi tidak pernah dibicarakan dan disabitkan bersalah.

“Tangkapan saya sebagai langkah pencegahan dan saya tidak pernah menyokong sebarang aktiviti keganasan, (tidak kira) apa pun namanya, apa pun bangsanya,” katanya selepas merasmikan gelanggang bola tampar di Kampung Bokara hari ini.

Catatan media sosial itu mendakwa Alias pernah menjadi ahli Jemaah Islamiah yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Alias berkata, beliau belajar agama dengan beberapa individu tertentu sekitar 1990-an yang disangka boleh mengancam keselamatan negara, tetapi ajaran mereka tiada kaitan dengan sebarang jenayah.

Katanya, beliau ialah umat Islam yang cintakan kedamaian.

Sepanjang ditahan di Pusat Tahanan Kamunting, beliau turut mendalami ajaran Islam.

Mengenai keputusannya menyertai arena politik, Alias berkata, beliau mahu menawarkan nilai baru kepimpinan politik kepada rakyat dan pencalonannya tidak bertentangan Perlembagaan.

Katanya, ramai pemimpin terkenal juga pernah ditahan di bawah ISA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.