Projek runding terus: Zuraida sedia berdepan saman Tamrin

Projek runding terus: Zuraida sedia berdepan saman Tamrin

Tamrin berkata projek pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin dilaksanakan menerusi rundingan terus pada 2017 di bawah pentadbiran BN.

Zuraida sebelum ini mendakwa Tamrin bertemu menteri kewangan ketika itu Lim Guan Eng untuk berbincang dan berunding secara terus bagi projek stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara pada 26 Nov 2018.
PETALING JAYA:
Zuraida Kamaruddin bersedia berdepan saman Tamrin Ghaffar berhubung isu penganugerahan kontrak stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara, Kuala Lumpur secara rundingan terus.

“Jika dia nak bawa ke mahkamah, kita bersedia (berdepan saman),” kata menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu pada majlis di Sungai Besar, hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan Tamrin yang juga anak bekas timbalan perdana menteri, Abdul Ghafar Baba berhasrat memfailkan saman terhadap Zuraida.

Beliau dilaporkan berkata projek tersebut dilaksanakan menerusi rundingan terus pada 2017 di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Zuraida pada 28 Ogos menggambarkan seolah-olah projek tersebut diberikan secara runding terus oleh bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng kepada syarikat atas dasar penglibatan saya dalam syarikat itu.

“Untuk makluman projek tersebut diberi secara runding terus oleh kerajaan BN yang mana Menteri KPKT ketika itu ialah Tan Sri Noh Omar,” katanya.

Sebelum ini, Zuraida mendakwa Tamrin, selaku penasihat syarikat Bumi Segar Indah, bertemu Guan Eng untuk berbincang dan berunding secara terus bagi projek stesen pemindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara pada 26 November 2018.

Zuraida mendakwa Guan Eng menasihati Bumi Segar Indah supayamenghantar cadangan formal dan akhirnya memberikan persetujuan berhubung projek itu melalui surat bertarikh 20 Februari 2019.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kerajaan akan memperkenalkan pembinaan balai bomba kelas E bagi memenuhi keperluan di luar bandar dan pedalaman dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Sekarang kita ada balai bomba kelas A,B, C dan D, kita hendak tambah kelas E, iaitu balai yang saiznya lebih kecil, tetapi sesuai di kawasan luar bandar.

“Ini juga selaras sasaran kita untuk menambah balai bomba bagi meningkatkan kecekapan. Sekarang kita ada 327 balai dan kita sasar untuk membina sehingga 520 balai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.