Komen pendakwa berhubung peluang sabitan 99% tidak wajar, kata Guan Eng

Komen pendakwa berhubung peluang sabitan 99% tidak wajar, kata Guan Eng

Terdahulu ketua pasukan pendakwaan Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, kes baru Lim merupakan “ibu segala kes” berbanding 3 pertuduhan yang dihadapinya sebelum ini.

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berdepan 5 pertuduhan membabitkan kesalahan yang didakwa berlaku semasa beliau merupakan ketua menteri Pulau Pinang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng membidas timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang berkata, wujud peluang sabitan 99% berkait 2 pertuduhan baru yang dikenakan ke atas ahli Parlimen Bagan itu.

Dengan menyifatkan komen Shaharuddin sebagai ofensif dan tidak wajar, beliau berkata, pasukan pendakwa telah pun menghakiminya, sekali gus mengancam haknya untuk mendapat perbicaraan yang adil.

“Ramai membuat komen bahawa kenyataan timbalan pendakwa raya itu berbahaya, boleh merosakkan reputasi seseorang dan menggugat hak saya untuk mendapat perbicaraan yang adil,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu ketua pasukan pendakwaan itu berkata, kes baru Lim merupakan “ibu segala kes” berbanding 3 pertuduhan yang dihadapinya sebelum ini.

Ketika ditanya tentang peluang pendakwaan dalam kes itu, Shaharuddin berkata, dasar Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah “mereka hanya membuat pendakwaan bagi kes yang mempunyai peluang sabitan 99%”, sementara baki 1% itu terserah kepada “ketentuan Tuhan”.

Lim didakwa melupuskan tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208 juta melibatkan 2 syarikat.

Ahli Parlimen Bagan dan bekas ketua menteri itu bagaimanapun menyifatkan pertuduhan tersebut “tidak berasas dan tidak logik” kerana beliau tidak mendapat apa-apa manfaat daripadanya.

“Tanah bernilai RM208 juta itu merupakan bayaran dalam bentuk tukaran tanah selaras dengan perjanjian antara kerajaan negeri dengan kontraktor.

“Selain itu, tanah berkenaan di pindah milik selepas keputusan akhir di buat oleh majlis eksekutif kerajaan.”

Lim sebelum ini berkata, pertuduhan itu berkait dengan projek terowong bawah laut dan jalan dianugerahkan secara tender terbuka pada 2013.

Katanya SPRM telah menyoal siasat beliau 5 kali berhubung perkara itu.

Lim menegaskan bahawa beliau tidak terlibat dalam proses tender.

Beliau kini berdepan 5 pertuduhan membabitkan kesalahan yang didakwa dilakukan semasa menjadi ketua menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.