Polis tumpas 2 sindiket, rampas dadah bernilai RM5.16 juta

Polis tumpas 2 sindiket, rampas dadah bernilai RM5.16 juta

17 individu ditahan dalam operasi polis di Lembah Klang pada Selasa dan Rabu lepas.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Zainudin Ahmad (tengah) menunjukkan barang rampasan membabitkan 2 sindiket dadah di Bukit Aman semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dua sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah di Kuala Lumpur dan Selangor tumpas dengan penahanan 17 individu dalam operasi polis di Lembah Klang pada Selasa dan Rabu lepas.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Zainudin Ahmad berkata, mereka yang ditahan dalam operasi 2 hari itu terdiri daripada 11 lelaki dan 4 wanita tempatan serta 2 wanita Vietnam berumur antara 28 hingga 59 tahun.

Beliau berkata, pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM5.16 juta turut dirampas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama narkotik Kuala Lumpur dan Selangor itu.

Katanya, dalam operasi pertama, pihaknya menahan 5 individu termasuk ketua sindiket dan menyita pelbagai barangan serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM6.68 juta.

“Melalui operasi itu, polis juga berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah di sebuah rumah sewa di Damansara, di sini,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini, semalam.

Zainuddin berkata, dalam operasi pertama pada 3.30 pagi Selasa lepas, polis merampas dadah jenis ketamin seberat 43.5 kilogram (kg), syabu (154 gram), pil Erimin 5 (34.8 gram), pil ekstasi (1.5 gram), mushroom (11.6 gram) dan ganja (8.68 gram), bernilai RM2.25 juta dalam enam serbuan berbeza.

“Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM63,350, 4 kenderaan mewah, 2 utas rantai leher, 3 bentuk cincin, 2 pasang subang, 1 utas gelang tangan dan 7 utas jam tangan berjenama yang kesemuanya bernilai RM334,750,” katanya.

Zainudin berkata, dalam operasi ke-2 pada 4.30 petang Rabu, polis menahan 12 individu, termasuk ketua sindiket berkenaan.

“Polis merampas serbuk dadah jenis MDMA seberat 32.72 kg, syabu (1.4 kg); pil ekstasi (11.4 kg); pil Erimin 5 (2.9 kg); ketamin (3.3 kg) serta peralatan memproses dadah dalam 9 serbuan berbeza di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata, polis juga merampas wang tunai berjumlah RM393,905, mata wang asing bernilai AS$115, 14 kenderaan pelbagai jenama, 5 utas jam tangan dan pelbagai barang kemas yang keseluruhannya bernilai RM1.2 juta.

“Kesemua suspek direman selama 7 hari sehingga 17 Sept ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis akan terus mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya sambil menambah pihaknya melakukan siasatan terhadap kedua-dua sindiket itu selama 3 minggu sebelum operasi dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.