Parti lawan berpecah soal calon KM Sabah, kata Shafie

Parti lawan berpecah soal calon KM Sabah, kata Shafie

Presiden Warisan itu berkata, ia berbeza dengan Warisan Plus yang sepakat menamakan beliau sebagai calon ketua menteri Sabah.

Shafie Apdal berkata, ia sangat ketara wujud perpecahan dalam Gabungan Rakyat Sabah yang terdiri daripada PN, BN dan PBS. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden Warisan, Shafie Apdal berkata, parti lawan masih berbelah bahagi mengenai calon ketua menteri Sabah berbanding Warisan Plus yang sepakat menamakannya untuk jawatan itu.

“Baik DAP kah, PKR kah, Amanah kah (yang menjadi calon kawasan), hanya satu calon saja untuk menjadi ketua menteri iaitu presiden Warisan,” katanya dipetik Malaysiakini selepas penamaan calon di Semporna hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya soal pembangkang di Sabah, iaitu PN, BN dan PBS yang belum memutuskan calon ketua menteri mereka.

Terdahulu, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mencadangkan Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri akhir bulan ini.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu masih memerlukan persetujuan sekutu PPBM dan perkara itu bukan keutamaan buat masa ini kerana memenangi PRN lebih penting.

Ditanya siapa yang akan mengetuai Gabungan Rakyat Sabah, Muhyiddin berkata, gabungan baru dibentuk itu akan diketuai bersama PN, BN dan PBS.

Sementara itu, Shafie berkata, wujud perpecahan dalam Gabungan Rakyat Sabah.

“Nampaknya, mereka tak jelas kan? Itu sangat ketara.

“Itu menunjukkan betapa berpecahnya pilihan yang mereka berikan kepada rakyat Sabah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.