Sekolah vernakular tidak hakis identiti kebangsaan, kata badan akademik

Sekolah vernakular tidak hakis identiti kebangsaan, kata badan akademik

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia berkata, gesaan penghapusan sekolah vernakular tidak wajar.

Setiausaha Agung Gerak Rosli Mahat berkata, isu sekolah vernakular dipolitikkan untuk kepentingan peribadi dan meraih sokongan.
SUBANG JAYA:
Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) membidas gesaan supaya sekolah vernakular dihapuskan dengan berkata, sekolah tersebut tidak menghakis identiti kebangsaan.

Bercakap di luar acara pelancaran sajak Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berjudul “Obor Akinabalu”, setiausaha agung Gerak Rosli Mahat berkata, bahasa pengantar sekolah vernakular tidak menggambarkan semangat patriotisme.

“Sekolah vernakular telah lama wujud di negara ini. Saya telah memeriksa sistemnya dan tidak menemui apa-apa kesalahan dengannya,” kata beliau.

“Bahasa tidak ada kaitan dengan patriotisme seseorang. Bahasa tidak mewakili perasaan kasih kepada negara kita.”

Rosli memberi respons terhadap gesaan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya sekolah tersebut dihapuskan secara berperingkat.

Fayhsal yang merupakan ketua Pemuda PPBM mendakwa sekolah vernakular tidak melahirkan pelajar dengan “identiti kebangsaan yang kuat”.

Rosli berkata, isu itu dipolitikkan untuk kepentingan peribadi dan meraih sokongan.

Katanya, sekiranya Bahasa Melayu benar-benar penting dalam memupuk identiti kebangsaan, maka ia harus digunakan di semua sektor.

“Jika bahasa merupakan faktor penting, maka minta universiti dan pelajar PhD hanya gunakan Bahasa Melayu,” katanya.

Katanya orang ramai perlu bertanya kenapa ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah vernakular, bukannya sekolah kebangsaan.

“Apakah yang tidak kena dengan sistem pendidikan di sekolah kebangsaan? Orang ramai perlu fokus perkara itu.”

Obor Akinabalu adalah sajak kritikal dan keras yang membidas ahli dan parti politik yang kelihatan lebih mengutamakan kepentingan sendiri berbanding negara.

Patriot berkata, sajak itu menggambarkan kekecewaan terpendam rakyat bukan sahaja di Sabah tetapi juga di seluruh Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.