Projek sisa pepejal dirunding pada masa BN, kata Tamrin

Projek sisa pepejal dirunding pada masa BN, kata Tamrin

Bulan lepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz membuat menyenaraikan 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang menurutnya diberikan secara rundingan terus di bawah kerajaan PH.

Tamrin Ghafar berkata, pengurangan harga projek sisa pepejal adalah sebahagian daripada langkah yang diambil oleh Pakatan Harapan bagi menyelamatkan wang kerajaan.
PETALING JAYA:
Tamrin Ghafar berkata projek kontroversi pemindahan stesen sisa pepejal yang didakwa diluluskan secara rundingan terus oleh bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dirundingkan pada 2017 semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Baru-baru ini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, sebagai penasihat Bumi Segar Indah Sdn Bhd yang dianugerahkan kontrak bernilai RM170.3 juta untuk projek itu, Tamrin berunding terus untuk projek itu dengan Lim pada 26 Nov 2018.

Tamrin menafikan perkara itu dalam kenyataan semalam.

“Projek tersebut telah diberi secara secara runding terus atau ‘direct nego’ oleh kerajaan Barisan Nasional atau BN dalam tahun 2017,” katanyanya.

“Menteri KPKT ketika itu ialah Tan Sri Noh Omar.”

Noh mengetuai Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari Jun 2016 hingga Mei 2018.

Bulan lepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membuat kenyataan menggariskan 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang menurutnya diberikan secara rundingan terus di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kenyataan itu antara lain menyenaraikan kontrak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Bumi Segar Indah Sdn Bhd bernilai RM170.3 juta untuk membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pindahan sisa pepejal di Taman Beringin, Kepong.

Zuraida berkata, beliau tidak tahu mengenai projek itu dan menyalahkan Lim dengan berkata, beliau bersetuju untuk mengurangkan kos projek itu sebanyak 10% dan menasihati Bumi Segar supaya menghubungi kementerian itu dan membuat cadangan rasmi mengenainya.

Tamrin sebelum ini mempersoalkan niat Zuraida mengaitkan perkara itu dengan dirinya.

Dalam kenyataan semalam, beliau berkata, langkah pengurangan harga projek itu adalah sebahagian daripada usaha PH untuk menyelamatkan wang kerajaan.

“Difahamkan dasar kerajaan Pakatan Harapan atau PH telah digubal pada ketika itu iaitu semua projek yang diberi secara runding terus atau ‘direct nego’ oleh kerajaan Barisan Nasional diturunkan atau dikurangkan sebanyak 10% daripada harga asal,” katanya.

Tamrin juga berkata, perkara lain akan “dikemukakan semasa perbicaraan di mahkamah”.

Beliau juga mengepilkan salinan surat peguamnya kepada ketua setiausaha KPKT Zainal Abidin Abu Hassan meminta belia mengemukakan surat yang didakwa ditulis oleh kementerian berkenaan kepada Kementerian Kewangan meminta kelulusan untuk rundingan terus projek tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.