
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata pihaknya mahu menyelesaikan isu itu dengan cara tersendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak supaya Indira dapat disatukan semula dengan anaknya, Prasana Diksa, 11.
“Biar polis buat kerja dan kita tak mahu bising-bising. Saya tak mahu ada unsur politik atau mana-mana pihak berkepentingan untuk masuk campur sebab isu ini begitu sensitif,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Beliau berkata, polis tidak pernah berdiam diri dalam menyelesaikan kes itu, malah sudah melantik seorang pegawai kanan tinggi untuk menghubungi dan berunding dengan Riduan, supaya dia dapat mengikut perintah dikeluarkan oleh mahkamah sebelum ini.
“Kita mempunyai masalah kekangan untuk membawa beliau (Riduan) balik ke sini (Malaysia). Bagaimanapun, kita sentiasa berunding sejak tahun lepas untuk memujuk beliau walaupun tidak dapat bersemuka antara kedua-dua pihak.
“Komunikasi dengan Riduan ketika rundingan itu amat positif, tetapi apabila ada berita yang tidak berapa baik disiarkan dalam akhbar serta komen negatif daripada pelbagai pihak, beliau bertindak berundur diri (untuk menyelesaikan masalah),” katanya.
Ketika ini belum ada sebarang petunjuk mengenai lokasi Riduan yang hilang bersama Prasana pada 2011.
Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama 3 anak guru tadika, Indira hampir 10 tahun lepas kepada Islam terbatal serta tidak sah di sisi undang-undang.