
Katanya, rakyat Sabah juga tidak perlu bimbang kerana kerajaan akan sentiasa menambah dan memperkukuhkan aset ketenteraannya.
“Kita akan menambah dari segi keanggotaan dan juga akan menambahkan aset ketenteraan kita.
“Ini termasuk penubuhan 3 Rejimen Artileri di Kalabakan, Lahad Datu, Kudat, sebuah Rejimen Armor di Kota Belud dan sebuah Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) di Sandakan.
“Di pantai barat Sabah pula, kita menubuhkan Markas Briged ke-32 Infantri di Kalabakan serta unit-unit sokongan dan sebuah Batalion Rejimen Sempadan di Tawau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Batalion ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Kem Sri Kinabatangan hari ini.
Ismail berkata, secara keseluruhan sebuah briged infantri, 3 batalion infantri, sebuah rejimen armor, 3 rejimen artileri serta 1 skuadron PUTD akan ditubuhkan bagi memperkuat dan mempertahankan Sabah daripada sebarang ancaman.
Katanya, penubuhan pasukan itu membabitkan peruntukan kira-kira RM14 bilion dan ia akan dilaksanakan segera dengan menfokuskan kepada kawasan pantai timur Sabah.
“Malah dari segi latihan, rondaan dan sebagainya kita akan pertingkatkan daripada masa ke semasa.
“Semoga rakyat Sabah terutamanya yakin dengan tentera darat menjaga keselamatan mereka,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, orang ramai khususnya di Lahad Datu tidak perlu panik berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sabah kerana ia hanya berlaku di Penjara Tawau.
Bagaimanapun, katanya pemantauan dan tindakan juga perlu dibuat di balai polis Lahad Datu.
“Kita mengawal sepenuhnya di Penjara Tawau, mengambil swab dan jika positif akan dihantar ke hospital dan jika negatif, selepas 13 hari, kita akan membuat pemeriksaan semula,” katanya.