
Beliau dituduh dengan curangnya menyebabkan Pendaftar Hakmilik Tanah Pulau Pinang melupuskan tanah milik kerajaan negeri di Tanjong Pinang (Lot 702 Seksyen 1) bernilai RM135,086,094.00 kepada Ewein Zenith Sdn Bhd; dan tanah milik kerajaan negeri di Tanjong Pinang (Lot 10012 Seksyen 1) bernilai RM73,668,986.00 kepada Zenith Urban Development Sdn Bhd.
Tuduhan bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu, iaitu menyalahgunakan harta dengan curang, memperuntukkan hukuman penjara 5 tahun, sebatan, dan denda jika disabit kesalahan.
Bagi tuduhan pertama, Lim dituduh melakukan perkara itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang pada 17 Feb 2015, dan pada 22 Mac 2017 bagi tuduhan kedua.
Lim mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, meminta jaminan RM1 juta bagi 3 tuduhan rasuah sebelum ini dipanjangkan kepada kes ini.
Hakim menetapkan 12 Okt untuk sebutan, dan membenarkan pendakwa raya memohon kes dipindahkan ke Kuala Lumpur.
Ditemui pemberita di luar mahkamah, Shaharuddin memberitahu tuduhan hari ini merupakan tuduhan terakhir terhadap Lim, yang juga setiausaha agung DAP.
“Orang kampung cakap kita dah nampak kepala, nampak badan, kita nak tengok ekor pula. Ini ekor dia,” katanya.
Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer, dan Sivanesan Achalingam.