Guan Eng bidas pertuduhan ‘bermotif politik’ oleh ‘kerajaan tidak dipilih’

Guan Eng bidas pertuduhan ‘bermotif politik’ oleh ‘kerajaan tidak dipilih’

Bekas ketua menteri menyifatkan tuduhan terhadapnya berdasarkan 'bukti yang tidak kukuh'.

Lim Guan Eng. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Lim Guan Eng membidas pertuduhan tambahan yang dikenakan terhadapnya hari ini, mengatakan ia “bermotif politik” oleh “kerajaan yang tidak dipilih”, selepas beliau dituduh dengan curangnya menyebabkan pelupusan tanah milik kerajaan bernilai RM208.7 juta kepada 2 syarikat.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu juga menyifatkan tuduhan terhadapnya “berdasarkan bukti yang tidak kukuh”, berikrar akan membuktikan dirinya tidak bersalah, “terutama apabila tiada wang ganjaran atau wang suapan dijumpai sama ada dalam akaun bank peribadi saya atau dalam pemilikan saya berbentuk tunai”.

“Sebaliknya, tiada tindakan yang sama diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap pemimpin kerajaan sekarang yang mempunyai fakta kes yang tidak dapat disangkal atau bukti yang kukuh,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata 2 pertuduhan baru hari ini berkaitan dengan projek terowong dan 3 laluan yang dianugerahkan melalui “tender terbuka” oleh jawatankuasa perolehan negeri pada 2013.

“Walaupun saya bukan anggota jawatankuasa perolehan negeri, saya tetap dituduh,” katanya.

Lim berterima kasih kepada penyokong yang menyumbang kepada dana solidariti RM10 yang dilancarkan DAP Pulau Pinang bulan lepas.

Katanya, dana itu berjaya mengumpul RM4 juta dalam tempoh seminggu.

“Saya terharu dengan sokongan orang ramai dan kepercayaan teguh mereka terhadap integriti saya dan pendirian berprinsip DAP melawan rasuah,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.