Runding isu Laut China Selatan secara diplomasi, Malaysia tegur China

Runding isu Laut China Selatan secara diplomasi, Malaysia tegur China

Teguran disampaikan dalam perbincangan tertutup Kementerian Pertahanan dengan delegasi yang diketuai menteri pertahanan China, Wei Fenghe.

PUTRAJAYA: Malaysia menegaskan kepada China setiap perkara melibatkan Laut China Selatan mesti dirundingkan secara diplomasi, mengingatkan delegasi republik komunis itu bahawa ia isu sensitif bagi rakyat kita.

Teguran itu disampaikan dalam perbincangan tertutup Kementerian Pertahanan dengan delegasi yang diketuai menteri pertahanan China, Wei Fenghe, pada Isnin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kepada pemberita, perbincangan itu melibatkan soal pertahanan termasuk Laut China Selatan.

“Kita beritahu pendirian kita… setiap isu mesti diselesai secara rundingan,” katanya pada sidang media hari ini.

Wei ketika bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan Beijing sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk mengekalkan keamanan di perairan yang menjadi rebutan itu.

Media melaporkan kunjungan ini dilakukan sebelum persidangan maya Asean yang bermula semalam, yang disertai Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo.

Malaysia, Filipina, Vietnam, dan Brunei terlibat dalam pertikaian kawasan dengan China dan Taiwan, di Laut China Selatan.

Ismail berkata kerajaan memang tidak mahu menghebohkan perbincangan sensitif itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.