
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Junaidah Kamaruddin berkata, pembangunan ekonomi akan melonjak jika lebih ramai wanita mengambil bahagian dalam perniagaan serta bergabung tenaga.
“Kementerian berusaha untuk memperkasakan wanita melalui pelbagai inisiatif, seperti membina keupayaan melalui keusahawanan.
“Pandemik Covid-19 menghalang penyertaan wanita dalam pasaran buruh dan memburukkan lagi ketidaksamaan dari segi akses dan penggunaan sumber.
“Oleh itu, kita harus mempertimbangkan kelemahan yang dihadapi wanita, wanita kurang upaya dan juga warga emas,” katanya dalam ucaptama pelancaran Akademi Keusahawan Wanita (AWE) hari ini.
AWE adalah inisiatif sepanjang tahun Kedutaan Amerika Syarikat melalui kempen Memperkasa Wanita dengan kerjasama Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita (Wena).
Akademi itu akan melatih 30 usahawan wanita pelbagai peringkat umur dari Lembah Klang, Kedah, Kelantan dan Sabah melalui program rangkaian, bimbingan dan kewangan.

Duta Besar AS ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir berkata, program itu turut mendedahkan wanita untuk membina perniagaan dan mengekalkannya bagi jangka masa panjang.
Sementara itu, mengulas larangan masuk ke Malaysia bagi warga AS, Kamala berkata kedutaan sedang berbincang dengan Putrajaya mengenai pelaksanaan larangan berkenaan.
“Kami sedar Malaysia menyenaraikan kami antara 24 negara (larangan masuk) dan kami masih berbincang dengan kerajaan Malaysia untuk lebih memahami keputusan dan prosesnya,” katanya.