
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan dikenal pasti di sebuah pusat perubatan di negeri berkenaan membabitkan kakitangan kesihatan.
“Kes indeks (kes ke-9455) kluster ini merupakan seorang anggota kesihatan di pusat perubatan tersebut.
“Beliau bergejala sejak 30 Ogos tetapi tidak mendapatkan rawatan. Ujian saringan Covid-19 dijalankan pada 5 Sept dan didapati positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, bagi kes ke-2 (kes ke-9456) juga merupakan anggota kesihatan di pusat perubatan itu.
“Beliau juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Beliau bergejala sejak 5 Sept dan mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang sama.
“Ujian saringan Covid-19 dijalankan pada 5 Sept 2020 dan didapati positif. Kedua-dua kes dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.
Susulan itu, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan.
“Sehingga hari ini, seramai 57 orang disaring dengan 2 dikesan positif, manakala 55 lagi masih menunggu keputusan,” katanya.