3 lelaki bebas daripada tuduhan bunuh di stesen minyak

3 lelaki bebas daripada tuduhan bunuh di stesen minyak

Hakim Shahnaz Sulaiman mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh.

Tiga lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini daripada pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang lelaki di stesen minyak di Taman Pelangi di sini 3 tahun lepas. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Tiga lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan membunuh dan bersubahat melakukan jenayah itu ke atas seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini, 3 tahun lepas.

Hakim Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh, Gan Jia Ji, 22, Yip Kah Hou, 26, dan Woon Kian Hui, 25.

Shahnaz dalam penghakiman pada akhir kes pendakwaan berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu tidak jelas untuk mengaitkan ketiga-tiga tertuduh dalam kes berkenaan.

“Bukti asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil juga tidak sepadan dengan darah yang ditemui di lokasi selain tiada siasatan dilakukan terhadap bukti alibi,” katanya.

Menurut Shahnaz, pihak pendakwaan juga gagal mengaitkan kereta BMW yang digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan.

Gan selaku tertuduh pertama, didakwa dengan niat bersama 5 orang yang masih bebas, membunuh Tan Aik Chai, 44, pada kira-kira 7.30 malam di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini, pada 17 Dis 2017.

Yip dan Wong serta 2 orang yang masih bebas pula didakwa bersubahat dengan Gan dan 5 orang yang masih bebas membunuh Tan pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Gan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, manakala Yip dan Wong didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman sama.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Suriani Ujang, manakala Gan diwakili peguam S Freda, Che Azlin Farahannis Evani, Foo Fang Leong dan Veeranesh Babu.

Yip pula diwakili peguam Chuah Shyue Chien, manakala Wong diwakili peguam Ram Karpal Singh dan Harshaan Zamani.

22 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.