Bekalan air di Selangor pulih sekurang-kurang 4 hari lagi

Bekalan air di Selangor pulih sekurang-kurang 4 hari lagi

Ia berikutan pencemaran masih dikesan di loji rawatan air terbabit.

Semalam Air Selangor mengesahkan kilang di Sungai Gong dipercayai punca gangguan bekalan air di 7 kawasan sekitar Lembah Klang sejak pagi semalam susulan penutupan 4 loji rawatan air di Sungai Selangor akibat pencemaran.
PETALING JAYA:
Pengguna akan mula menerima bekalan air bersih sekurang-kurangnya dalam tempoh 4 hari berikutan kerja-kerja pemulihan roji rawatan air (LRA) melebihi 24 jam, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Dalam kenyataan hari ini, Air Selangor berkata, sehingga 2.30 petang tadi, pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk loji dan berada pada tahap 1 TON (Nombor Bau Nilai Ambang).

“Air Selangor memandang serius isu pencemaran yang berlaku kerana menyebabkan henti tugas melebihi 24 jam dan proses pemulihan dijangka memakan masa lebih lama bagi memastikan semua pengguna terjejas mendapat bekalan air semula,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor berkata,operasi 4 LRA iaitu Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang hanya akan mula beroperasi jika bacaan 0 TON diperoleh sebanyak 3 kali berturut-turut.

“Apabila mula beroperasi, pengguna akan mula menerima bekalan air paling kurang dalam tempoh 4 hari,” katanya.

Justeru, lokasi pili awam ditambah dari semasa ke semasa bagi membantu pengguna mendapatkan bekalan air alternatif.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web www.airselangor.com.

Henti tugas loji rawatan menyebabkan Air Selangor tidak dapat mengagihkan air sebanyak 2,767 juta liter sehari kepada pengguna melibatkan 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat yang mengalami gangguan bekalan air akibat pencemaran itu.

Air Selangor semalam mengesahkan, kilang di Sungai Gong dipercayai punca gangguan bekalan air di 7 kawasan sekitar Lembah Klang sejak pagi semalam susulan penutupan 4 loji rawatan air di Sungai Selangor akibat pencemaran.

Siasatan awal mendapati punca pencemaran disebabkan kilang menyelenggara mesin dan jentera itu gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.