Bekas pembantu Isa Samad diberi RM2 juta tanda terima kasih, kata saksi

Bekas pembantu Isa Samad diberi RM2 juta tanda terima kasih, kata saksi

Pesara tentera, Mohamad Jani Ismail berkata wang itu sebagai tanda terima kasih kerana Muhammad Zahid Md Arip menjadi penghubung dalam urusan penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching.

Mohamad Jani Ismail berkata, Isa Samad tidak meminta beliau membuat laporan kepada SPRM, selepas dimaklumkan Muhammad Zahid Md Arip menerima RM2 juta sebagai tanda terima kasih.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bekas pegawai khas politik Mohd Isa Samad, Muhammad Zahid Md Arip diberikan RM2 juta sebagai tanda terima kasih kerana menjadi penghubung dalam urusan penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Pesara tentera, Mohamad Jani Ismail, 58, berkata Zahid memaklumkan perkara itu kepadanya sebelum bermulanya mesyuarat bersama pelabur dari Jepun di sebuah hotel di Putrajaya pada 8 Jun 2018.

“Sebelum pelabur dari Jepun itu tiba lebih kurang 10 malam, Zahid menyatakan beliau mahu menghisap rokok di kawasan hisap rokok. Jadi, saya yang ditemani Dahalan Tunggal yang turut menghadiri mesyuarat tersebut menemani Zahid.

“Semasa kami sedang menghisap rokok, saya tanya beliau (Zahid), tentu saudara Zahid sudah banyak duit kerana dilantik jadi Setpol PM (ketika itu setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad).

“Zahid kemudian membalas secara bersahaja dan menyatakan beliau ada sedikit duit apabila menjadi orang penghubung dalam urusan penjualan Hotel Merdeka Palace di Sarawak yang beliau diberikan RM2 juta sebagai tanda terima kasih,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada hari ke-3 prosiding bela diri Isa yang menghadapi 9 pertuduhan rasuah.

Bagaimanapun, saksi pembelaan ke-4 itu berkata, Zahid memberitahunya Isa tidak tahu transaksi RM2 juta tersebut.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz sama ada beliau memaklumkan perkara itu kepada Isa, Jani berkata: “Ada, selepas 8 Jun 2018.”

Afzainizam: Ketika itu Isa belum dituduh di mahkamah?

Jani: Saya tidak tahu

Jani yang juga bekas jurulatih tinju Malaysia sejak 1992 hingga 1998 berkata, selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, Isa bagaimanapun tidak memintanya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Afzainizam: Saya katakan kepada kamu pengakuan ini (terima RM2 juta) tidak pernah dibuat oleh Zahid.

Jani: Tidak betul.

Afzainizam: Tentang pengakuan RM2 juta, maklumat itu penting sepatutnya disalurkan kepada SPRM.

Jani: Tidak setuju.

Jani juga tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan beliau takut memberi keterangan kepada SPRM.

Beliau turut menafikan cadangan pendakwaan yang tindakan beliau membuat pengakuan itu demi menyelamatkan Isa dan terhutang budi dengan Isa.

Afzainizam: Adakah kamu mewujudkan akuan ini (RM2 juta) semata-mata dengan niat untuk memburuk-burukkan Zahid?

Jani: Tidak setuju.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam Salehuddin Saidin yang mewakili Isa, mengapa beliau tidak membuat laporan polis sedangkan saksi itu mengetahui Zahid menerima RM2 juta, Jani berkata: “Saya klasifikasikan ini duit ucapan terima kasih sebagai orang perantaraan dan dia mengaku terima RM2 juta”.

Jani berkata, beliau tidak tahu sama ada wang itu rasuah atau tidak.

Isa berdepan 9 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pihak pembelaan hari ini menutup kesnya selepas memanggil 6 saksi dan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 4 Nov untuk mendengar hujah kedua-dua pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.