
Beliau berkata, pasukan petugas khas yang ditubuhkan November tahun lalu itu akan membantu mengenal pasti kelemahan pelesenan, peraturan udara dan operasi penerbangan.
Katanya, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) datang ke Malaysia pada April dan sekali lagi Julai tahun lalu, di mana 55 kelemahan sudah dikenal pasti dengan 20 daripadanya diselesaikan.
Wee berkata, pasukan petugas khas itu sedang memantau situasi untuk memastikan CAAM dapat dinaik taraf semula kepada Kategori 1.
Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) bertanya mengapa CAAM diturunkan dari Kategori 1 kepada 2, menyebabkan syarikat penerbangan tempatan kehilangan akses laluan baru dan perkongsian kod di AS.
Penarafan keselamatan udara Malaysia diturunkan kepada Kategori 2 pada November 2019, selepas audit FAA mendapati industri penerbangan tempatan tidak memenuhi piawaian keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.