
Pelari terpantas dunia, Usain Bolt disahkan positif Covid-19 seminggu selepas dia mengadakan parti sambutan hari jadinya yang ke-34, lapor The Guardian.
Melalui Twitter, pemegang rekod dunia acara pecut 100m dan 200m itu memuat naik sebuah video untuk memaklumkan perkembangan terkini tentangnya.
“Saya lakukan ujian pada hari Sabtu. Saya cuba untuk menjadi seseorang yang bertanggungjawab jadi saya akan duduk rumah demi (kesihatan) kawan-kawan saya.
“Saya tak alami apa-apa simptom jadi saya akan jalani kuarantin kendiri dan tunggu pengesahan tentang protokol.
“Sesiapa yang ada kontak dengan saya juga patut lakukan kuarantin kendiri demi keselamatan,” katanya dalam posting itu.
Bolt telah menjalani ujian saringan Covid-19 sehari selepas sambutan hari jadinya itu dan difahamkan, Usain yang pernah memenangi 8 pingat emas Olimpik tidak mengalami sebarang gejala, termasuklah masalah pernafasan.
Menurut laporan, kebanyakan tetamu yang hadir ke parti hari jadinya itu tidak memakai pelitup muka serta tidak menjaga penjarakan fizikal masing-masing.
Beberapa bintang sukan lain dikatakan kini dicari oleh pihak perubatan di sana selepas mereka dilihat hadir ke majlis hari jadi Usain Bolt.
Antaranya pemain bola sepak England, Raheem Sterling, pemain kriket Chris Gayle dan Leon Bailey, pemain kelab bola sepak Bayer Leverkusen.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]