Temco di beberapa kawasan di Perlis, Kedah tamat esok

Temco di beberapa kawasan di Perlis, Kedah tamat esok

Keputusan itu diambil selepas mengambil kira tiada kes positif baharu dan semua penduduk di kawasan terbabit sudah disaring Covid-19 oleh petugas KKM.

Polis melakukan pemeriksaan di Sanglang, Perlis, antara kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (Temco). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bersetuju menamatkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (Temco) di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, Perlis, serta 4 mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira tiada kes positif baharu dan semua penduduk di kawasan terbabit sudah disaring Covid-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

“KKM menyaring seramai 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap.

“Terdapat beberapa kes positif dilaporkan di 4 daerah di Kedah yang melibatkan kluster Tawar.

“Pihak KKM memutuskan Temco tidak perlu dikenakan kerana kawalan secara kumpulan bersasar masih boleh memastikan jangkitan terkawal,” katanya pada sidang media hari hari ini.

Pada 13 Ogos lalu, penduduk setempat dan orang luar dilarang melakukan pergerakan keluar masuk di kawasan Temco di Kedah dan Perlis.

Ismail berkata, polis melakukan kawalan sepanjang masa dan akan mengambil tindakan terhadap individu ingkar arahan.

Sementara itu, beliau berkata keputusan sama ada perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) diteruskan atau tidak akan diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum 31 Ogos ini.

“Pengumuman pasti dibuat oleh perdana menteri. Kita tunggu perdana menteri umum. Kita tunggu, biasanya seminggu sebelum 31 Ogos dan mungkin dalam minggu ini perdana menteri akan umumkan. Tunggu dengan sabar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.