
“Tidak ada penangguhan. Ia akan beroperasi seperti biasa,” katanya kepada FMT.
Beliau menyangkal kenyataan dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengenai perkhidmatan feri yang akan dihentikan mulai 1 September bagi memberi laluan kepada proses penaiktarafan terminal oleh kementerian pengangkutan untuk tempoh 3 bulan.
Wee berkata, beliau juga sudah memberitahu Chow mengenai perkara itu pada 17 Ogos lalu.

“Saya bertemu dengannya di Parlimen dan saya beritahu kepada beliau kementerian akan membenarkan operasi feri diteruskan. Ismail Sabri ada di situ ketika saya bercakap dengannya,” kata Wee merujuk kepada menteri kanan (keselamatan).
Semalam, perkhidmatan feri dihentikan kerana kerja penyelenggaraan selama 2 hari. Bagaimanapun, salah sebuah feri mula beroperasi pagi tadi.
Chow berkata, beliau sudah meminta kementerian menghentikan rancangan itu sehingga cadangan yang kukuh dibentangkan kepada kerajaan negeri.
Sementara itu, Wee berkata beliau dijangka bertemu Chow Khamis ini bagi membincangkan pelbagai isu pengangkutan di negeri itu.