
Beliau berkata, pengilang tempatan yang terdiri daripada 10 kilang mampu menghasilkan 1.5 juta pelitup muka sehari buat masa ini dan 4 lagi kilang baru akan memulakan operasi Oktober ini.
“Selepas kajian, kita akan umum dalam hujung September atau Oktober untuk diturunkan lagi di bawah paras RM1. Kita juga harap pemain industri mengambil maklum perkara ini dan jangan kata kita tidak bagi notis,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) jika harga siling pelitup muka akan diturunkan secara berperingkat bagi mengelakkan pengeluar rugi.
Cha turut mencadangkan pelitup muka dijual 50 hingga 60 sen, dan menggesa kerajaan mengurangkan harga pelitup muka kanak-kanak lebih rendah berbanding orang dewasa.
Linggi berkata, ia tidak dapat dilakukan kerana proses pengeluaran menggunakan kaedah sama seperti pelitup muka orang dewasa.
Beliau berkata, kementeriannya sentiasa memantau harga pelitup muka di pasaran semasa bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan ke atas pembeli.
Pada 11 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan harga siling pelitup muka 3 lapis dikurangkan daripada RM1.20 kepada RM1 untuk membantu mengurangkan beban ibu bapa perlu menyediakan pelitup muka kepada anak yang memulakan sesi persekolahan dan kegunaan orang ramai.