Koperal polis ditahan kerja ditangkap kerana menyamun, 2 rakan diburu

Koperal polis ditahan kerja ditangkap kerana menyamun, 2 rakan diburu

Suspek disyaki terbabit dalam kes samun melibatkan seorang wanita warga China Ahad lepas.

Polis berkata, suspek bersama-sama 2 lelaki menghampiri mangsa berusia 29 tahun di sebuah kedai makan di Pandan Perdana dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
KUALA LUMPUR:
Seorang koperal polis yang kini ditahan kerja diberkas kerana disyaki terbabit dalam kes samun melibatkan seorang wanita warga China di sebuah kedai makan di Pandan Perdana, dekat sini, Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, suspek bersama 2 lelaki menghampiri mangsa berusia 29 tahun yang sedang minum di kedai makan berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Beliau berkata, suspek bertindak memegang kedua-dua belah tangan mangsa yang bekerja sebagai jurujual sebelum menarik mangsa ke kawasan letak kereta dan mangsa menjerit meminta tolong.

Orang awam datang membantu mangsa dengan suspek berumur 46 tahun itu berjaya ditangkap, manakala 2 rakannya yang berjaya melarikan diri kini diburu polis.

Mangsa tidak mengalami kecederaan, tetapi kerugian wang tunai kira-kira RM5,000 serta barangan solek wanita, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, iaitu samun berkumpulan dan suspek direman 7 hari sehingga Ahad ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.