Pharmaniaga sedia bangun proses pembotolan vaksin Covid-19

Pharmaniaga sedia bangun proses pembotolan vaksin Covid-19

Pharmaniaga berkata, ia membentangkan pelan, kapasiti dan keupayaannya untuk membotolkan vaksin Covid-19 kepada Majlis Sains Negara.

Pharmaniaga Bhd adalah 1 daripada 2 syarikat berkaitan kerajaan yang akan digunakan untuk membotolkan vaksin Covid-19. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pharmaniaga Bhd bersedia untuk membuat perubahan yang diperlukan kepada kilang sedia ada yang akan membolehkan mereka menjalankan proses pembangunan pembotolan untuk vaksin Covid-19 apabila ia dibangunkan, kata pemangku pengarah urusannya, Mohamed Iqbal Abdul Rahman.

Beliau berkata, kumpulan itu membentangkan kepada Majlis Sains Negara mengenai pelan, kapasiti dan keupayaannya untuk tujuan tersebut.

“Ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka pendek kumpulan untuk menangani keperluan mendesak kepada vaksin Covid-19,” katanya dalam jawapan bertulis mengenai pelan masa depan Pharmaniaga.

Bulan lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan bersetuju kemudahan yang dimiliki oleh Duopharma Biotech Bhd dan Pharmaniaga digunakan untuk pembotolan vaksin.

Khairy dilaporkan menjelaskan bahawa kedua-dua syarikat itu dipilih berikutan kedua-duanya berkaitan dengan kerajaan — Duopharma dimiliki oleh Permodalan Nasional Bhd dan Pharmaniaga dimiliki oleh Boustead Holdings Bhd — dan pada masa ini mempunyai kapasiti yang tidak digunakan yang dapat diarahkan untuk tujuan ini.

Mengenai masa depan, Iqbal berkata, Pharmaniaga, yang merupakan syarikat farmaseutikal terbesar di Malaysia, dijangka mewujudkan kemudahan vaksin halal pertama di dunia yang disasarkan siap pada 2022.

“Pada 2018, Pharmaniaga mengumumkan pelan untuk mendirikan kilang vaksin. Sejak itu, kami selesai menjalankan kajian terperinci yang diperlukan dan menjalin kerjasama dengan pengeluar vaksin antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Pharmaniaga mempunyai pelan jangka panjang untuk pertumbuhan mampan dan menetapkan enam teras strategik untuk memacu syarikat ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai syarikat berkaitan kerajaan, Pharmaniaga komited untuk terus memberikan standard perkhidmatan tertinggi untuk membolehkan Kementerian Kesihatan memberi tumpuan kepada penyampaian penjagaan kesihatan dengan Pharmaniaga sebagai rakan logistik pilihannya.

“Walaupun kami telah mendapat kontrak logistik dan pengedaran sehingga November 2024, kami berharap dengan rekod prestasi, infrastruktur siap, teknologi maklumat bersepadu dan paling penting, modal insan yang berpengalaman, akan menempatkan kami dengan baik untuk mendapatkan potensi lanjutan selepas tempoh ini,” katanya.

Iqbal berkata, Pharmaniaga turut meraih manfaat daripada usaha pendigitalan kumpulan, yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas, memastikan gangguan yang minimum semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, Pharmaniaga akan turut mengembangkan portfolio produknya dengan produk baru dihasilkan secara dalaman, selain mengukuhkan segmen agensi dan pengedarannya serta memperluaskan kemudahan pusat sehentinya.

“Dengan lebih 300 pakatan dan lebih 6,000 hospital swasta, pengamal am dan kedai farmasi, Pharmaniaga mempunyai asas yang amat kukuh untuk membina dan mengukuhkan lagi kesetiaan pelanggan,” katanya.

“Kami turut menyesuaikan dengan ‘normal baru’ selepas Covid-19 dan memanfaatkan pembelajaran positif daripada PKP.

“Mesyuarat dalam talian dan bekerja dari rumah memberi kami peluang untuk lebih produktif berikutan kami mempunyai kos perjalanan yang berkurangan dan lebih banyak masa produktif,” katanya.

Bagi tempoh kewangan 6 bulan berakhir 30 Jun, 2020, Pharmaniaga mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM32.38 juta berbanding RM28.89 juta dari segi tahun ke tahun, manakala pendapatan melonjak kepada RM1.47 bilion daripada RM1.39 bilion dicatatkan dalam tempoh sama pada 2019.

“Bahagian itu menerima impak daripada sekatan sosial skala besar republik itu berikutan pandemik Covid-19, yang menyebabkan akses yang terhad kepada doktor, klinik, farmasi dan hospital,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Iqbal berkata, syarikat sedang mencari penyelesaian untuk menguruskan kelewatan pembayaran oleh hospital kerajaan untuk perniagaan pengedaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.