
Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut, yang juga setiausaha politik menteri persekutuan, berkata Pakatan Harapan tidak meneruskan proses pengambilalihan itu selepas Pilihan Raya Umum 2018.
Katanya, dakwaan Ketua Menteri, Shafie Apdal yang pengambilalihan itu terganggu selepas Perikatan Nasional mentadbir Putrajaya Mac lalu tidak berasas.
Setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Ongkili, berkata Shafie perlu kekal kepada fakta.
“Faktanya ialah kerajaan persekutuan mahu menunggu butiran lanjut daripada negeri dalam hal berkaitan kos, kapasiti kewangan negeri dan tindakan ke atas undang-undang yang perlu dilaksanakan.”
Katanya, rundingan berhubung pengambilalihan itu bermula sebelum PRU 2018.
“Kabinet persekutuan Barisan Nasional ketika itu, di mana Ongkili ialah menteri tenaga, memutuskan sebulan sebelum PRU untuk mengembalikan SESB kepada kerajaan Sabah di bawah pelan tindakan Perjanjian Malaysia 1963.
“Malangnya, BN kalah dalam PRU. Kerajaan PH yang tidak berbuat apa-apa untuk meneruskan pengambilalihan itu.”
Rabu lalu, Shafie mendakwa rundingan bermula ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dan semuanya berjalan lancar sehingga pertukaran kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, Mandut berkata, hampir tiada tindakan diambil kerajaan PH dan Warisan sejak 2 tahun lalu.
“Malah, Ongkili dibawa berunding secara sulit atas kapasiti peribadinya oleh pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Sabah dan SESB mendapatkan input mengenai rancangan serta strategi BN bagi penyerahan pada akhirnya.
“Dengan ketidakstabilan politik di Sabah sejak 6 bulan lalu, kerajaan persekutuan menyatakan bukti lebih lanjut diperlukan untuk membuktikan kemampuan kerajaan negeri mengambil alih aset dan pengurusan SESB.”