Perniagaan dalam talian selamatkan restoran 33 tahun ketika PKP

Perniagaan dalam talian selamatkan restoran 33 tahun ketika PKP

Sejak menggunakan kaedah digital, perniagaan Citra Maju meningkat 50% dan melayan hampir 150 pelanggan setiap minggu.

Restoran milik keluarga Kartik Ganason mengharungi tempoh PKP dengan menceburi perniagaan dalam talian.
SENTUL:
Kartik Ganason bimbang restoran berusia 33 tahun milik keluarganya akan ditutup ketika perintah kawalan pergerakan diumumkan Mac lalu.

Empat kedai keluarganya terpaksa ditutup ketika kemerosotan ekonomi sebelum ini. Beliau tahu premis terakhir itu tidak dapat bertahan tamparan sedemikian seperti sekatan PKP.

“Saya dalam keadaan tertekan. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana kami tidak boleh menjalankan perniagaan,” kata Kartik, di mana Restoran Citra Maju ditubuhkan bapanya pada 1987.

Kartik ialah jurutera, tetapi beliau melepaskan kerjaya itu untuk mengambil alih perniagaan keluarga ketika bapanya jatuh sakit 6 tahun lalu.

Disebabkan mata pencarian keluarganya terancam, beliau sedar beliau perlu bertindak pantas untuk mengekalkan warisan bapanya.

Beliau memutuskan untuk membawa Restoran Citra Maju menceburi perniagaan dalam talian dan mendaftar dengan Sama Sama Lokal Maybank selepas dihubungi perkhidmatan itu. Platform itu menawarkan cara menjual makanan dalam talian dan memberi latihan serta sokongan diperlukannya.

Sebaik saja mendapat nombor pendaftaran syarikat, alamat dan menu, Maybank hanya mengambil seminggu untuk mempersiapkan restoran itu menjalankan perniagaan secara maya.

Restoran Citra Maju beroperasi di Sentul sejak 33 tahun dulu.

“Ketika itu saya sedar (perniagaan dalam talian) benar-benar dapat membantu kami,” kata Kartik.

Semuanya daripada profil beliau, menu dalam talian sehingga kaedah pembayaran dikendalikan pasukan Sama Sama Lokal, yang turut memberi tunjuk ajar kepada Kartik mengenai cara ia berfungsi dan cara terbaik berkomunikasi dengan pelanggan serta penghantar makanan.

Kartik berkata, semuanya telus dan mudah difahami, selain memastikan beliau tidak dihujani terlalu banyak maklumat.

Platform itu seperti kebanyakan perkhidmatan penghantaran makanan lain, tetapi berbeza dengan platform lain yang mengenakan komisen sehingga 30%, vendor tidak dikenakan komisen. Mereka juga dibayar dalam tempoh 24 jam.

Sejak menggunakan kaedah digital, perniagaan Citra Maju meningkat sebanyak 50% dan melayan hampir 150 pelanggan setiap minggu kerana sistem itu memberikan aliran pendapatan tambahan serta membenarkannya dilihat kumpulan pelanggan baru yang lebih luas.

Malah, penduduk dari Puchong, sejauh 30km, datang ke kedainya sejak ia membuka pintu semula kepada pelanggan untuk menjamu selera di dalam premis.

Peminat Citra Maju yang menjumpai restoran itu melalui Sama Sama Lokal turut bertanyakan perkhidmatan katering untuk acara besar, yang dilihat Kartik sebagai peluang besar.

Beliau yakin platform digital seperti itu berpotensi membantu banyak perniagaan kecil lain kerana perniagaan dalam talian boleh diakses semua orang.

Kini, beliau merancang menghadiri sesi latihan anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui program eUsahawan, yang diharapkan dapat mengajarkannya kaedah mengembangkan lagi kehadirannya dalam talian dan menjangkau lebih ramai pelanggan.

Melihat kemajuan kedainya dalam waktu singkat, Kartik tidak bercadang meninggalkan perniagaan itu dan berbangga dalam menguruskan perniagaan dan meneruskan warisan keluarga.

Sebenarnya, beliau sedang mengintai peluang untuk mengembangkan jenama Citra Maju seperti dilakukan bapanya, dengan 2 kedai baru dirancang untuk 2021.

“Sebelum saya pulang, 10 tahun pertama kerjaya saya, saya berada jauh daripada keluarga. Saya rindukan semuanya. Saya tidak dapat bersama keluarga dalam keadaan baik atau buruk. Tetapi, saya tidak akan tinggalkan mereka sekarang. Saya perlu berada di sini untuk mereka.”

MDEC baru-baru ini melancarkan gerakan #SayaDigital, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, objektif utama inisiatif itu untuk melengkapi rakyat Malaysia dengan kemahiran digital dan memperkasakan perniagaan menceburi bidang digital.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

“Kami mahu individu dan perniagaan dilengkapi alat diperlukan untuk mereka berkembang dalam normal baru sambil mencapai kemajuan besar dalam Revolusi Industri 4.0.”

Pelbagai program seperti PeDAS, eUsahawan, eRezeki, 100 Go Digital, Go-eCommerce dan eBerkat disediakan untuk membantu mengembangkan digitalisasi perniagaan tempatan.

Bulan ini, #SayaDigital akan menampilkan beberapa program diterajui MDEC, menyediakan pelbagai kaedah untuk perniagaan menceburi bidang digital dan membolehkan rakyat mahir secara digital dengan pantas dan beramai-ramai.

Dua minggu pertama gerakan #SayaDigital memfokuskan peningkatan penggunaan digital dalam kalangan perniagaan, manakala 2 minggu terakhir memberi peluang kepada rakyat untuk belajar dan meningkatkan kemahiran digital mereka.

Sidang Kemuncak Digital PKS baru-baru ini, yang julung kali di Malaysia, menarik lebih sejuta peserta yang mempelajari dan melaksanakan solusi digital untuk memulakan atau mengembang perniagaan mereka.

Layari www.mdec.my/sayadigital untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana #SayaDigital dapat membimbing perjalanan anda melalui digitalisasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.