Pembangkang persoal lantikan ahli PBB di lembaga pengarah Petronas

Pembangkang persoal lantikan ahli PBB di lembaga pengarah Petronas

Ibrahim Baki salah seorang daripada 3 ahli baharu yang dilantik ke lembaga pengarah Petronas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang See Chee How berkata kerajaan Sarawak mesti menjelaskan pelantikan Ibrahim baki ke lembaga pengarah Petronas.
KUCHING:
Seorang pemimpin pembangkang Sarawak mempersoalkan pelantikan tokoh korporat Ibrahim Baki, ahli majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sebagai wakil negeri di lembaga pengarah Petronas.

Ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) See Chee How berkata, kerajaan negeri seharusnya membenarkan Dewan Undangan Negeri berbincang, berdebat dan memutuskan pelantikan wakil Sarawak di lembaga pengarah Petronas.

See yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang berkata, “kerajaan Sarawak mesti menjelaskan adakah ia sudah dirunding dan mencadangkan pelantikan Ibrahim ke lembaga pengarah Petronas.”

Ibrahim salah seorang daripada 3 ahli baharu yang dilantik ke lembaga pengarah Petronas. Individu lain adalah bekas ketua hakim Malaya Zaharah Ibrahim dan ahli perniagaan Razali Mohd Yusof. Pelantikan itu berkuat kuasa pada 17 Ogos.

See berkata, pelantikan Zaharah “tidak diragui sebagai lantikan strategik” memandangkan pertikaian undang-undang antara Sarawak, Putrajaya dan Petronas mengenai pendapatan dan cukai.

Beliau berharap Zaharah dapat membantu “mengakhiri penindasan dan diskriminasi” oleh kerajaan pusat dan Petronas terhadap Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.