Mahkamah tolak permohonan semak persetujuan bubar DUN Sabah

Mahkamah tolak permohonan semak persetujuan bubar DUN Sabah

Permohonan ditolak atas alasan perkara itu tidak boleh diputuskan di mahkamah.

KOTA KINABALU:
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan 33 Adun Sabah yang memohon persetujuan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri disemak semula.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menolak permohonan itu atas alasan perkara itu tidak boleh diputuskan di mahkamah.

Kumpulan wakil rakyat itu, diketuai bekas ketua menteri Musa Aman, memohon kebenaran untuk semakan kehakiman itu pada 3 Ogos lepas, dan juga memohon injunksi ke atas pembubaran DUN dan mempersoalkan permohonan bertulis Ketua Menteri Shafie Apdal kepada Juhar memohon DUN dibubarkan pada 29 Julai.

Keputusan hari ini selepas mahkamah mendengar hujah lanjut daripada peguam kumpulan wakil rakyat itu, Tengku Fuad Ahmad, Jabatan Peguam Negara Sabah, dan peguam kanan persekutuan, tentang adakah mendengar dan menentukan cabaran terhadap keputusan seorang Yang di-Pertua membubarkan DUN termasuk dalam bidang kuasa mahkamah.

Mahkamah juga meneliti hujah daripada Tengku Fuad tentang locus standi kumpulan wakil rakyat terbabit mencabar keputusan Juhar.

Peguam Negeri Brenndon Keith Soh, yang mewakili YDP Juhar Mahiruddin dan KM Shafie Apdal, ditemui pemberita selepas keputusan mahkamah hari ini.

“Mahkamah mendapati keputusan Tuan Yang Terutama ‘non-justiciable’,” kata Peguam Negeri Brenndon Keith Soh kepada pemberita selepas keputusan.

“Mahkamah mendapati responden pertama dan kedua bertindak mengikut perlembagaan negeri,” tambanya, merujuk kepada Juhar dan Shafie.

Pembubaran itu membuka laluan kepada pilihan raya negeri kilat. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan rakyat Sabah akan mengundi pada 26 Sept.

Sementara itu, Soh memberitahu pemberita tiada permohonan penangguhan untuk menghentikan pilihan raya.

Rayuan

Di pihak kumpulan wakil rakyat, Fuad berkata pihaknya akan merayu keputusan itu, mengatakan ia diserahkan 5 minit selepas keputusan diberikan.

Beliau berkata mahkamah mendapati mereka berhak di sisi undang-undang (legal standing) untuk membawa perkara berbangkit ke mahkamah.

Dalam masa sama, hakim juga nampaknya mendapati Shafie hilang majoriti.

“Jadi beliau (ketua menteri) ada 2 pilihan, letak jawatan atau mohon DUN dibubarkan,” tambahnya.

“Bagaimanapun, ada 2 perkataan daripada hakim yang kami tidak setuju, iaitu ‘nasihat’ dan ‘minta’. Kami akan bawa hal ini ke Mahkamah Rayuan kerana kami tidak bersetuju 2 perkataan itu sama maksudnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.