
Beliau berkata, pihaknya memandang serius peningkatan kes 2 kluster itu dan pemantauan serta pencegahan giat dilakukan.
“Virus memang bersifat begini…ia akan mutasi kerana mahu hidup, bukan mahu bunuh perumah, tetapi kita tidak tahu adakah ia bersangkutan (mutasi D614G). Kajian masih dilakukan,” katanya di Felda Gunung Besout 4 di sini, hari ini.
Virus mutasi D614G dilaporkan berisiko meningkatkan kebolehjangkitan Covid-19 lebih 10 kali ganda dalam kalangan individu tidak mematuhi SOP.
Lapan kes baru dilaporkan Rabu lalu di Kedah dan Pulau Pinang, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 bagi kluster Tawar sebanyak 55 kes, manakala 3 kes baru dilaporkan di Kedah yang menjadikan keseluruhan 11 kes membabitkan kluster Sala.
Mengulas tindakan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari luar negara, Azmi berkata, siasatan perlu dilakukan bagi melihat sama ada berlaku pelanggaran SOP.
“Saya tidak tahu perincian perkara ini dan jika ada kebenarannya, maka siasatan dan hukuman mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) perlu dilakukan. Semua rakyat mahu keadilan dan integriti.”
Mengenai pematuhan SOP ketika kempen Pilihan Raya Kecil Slim, katanya, tiada laporan pelanggaran SOP setakat ini.