Kerajaan PN tangguh ambil alih SESB Sabah, kata Shafie

Kerajaan PN tangguh ambil alih SESB Sabah, kata Shafie

Shafie Apdal berkata, lebih baik bagi Sabah untuk mengendalikan masalah bekalan elektriknya sendiri.

(Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata proses pengambilalihan syarikat utiliti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) tergendala selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kuasa di peringkat persekutuan.

Bercakap kepada pemberita selepas acara di daerah pantai timur Kunak semalam beliau berkata, rundingan telah bermula semasa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Katanya, semuanya berjalan lancar sehingga berlaku pertukaran kerajaan awal tahun ini.

“Gangguan elektrik terus berlaku dan ada kampung yang tidak mempunyai bekalan tenaga sama sekali. Itulah sebabnya saya berbincang dengan Mahathir – saya beritahu saya mahu mengambil semula SESB,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.

Beliau berkata, Mahathir bersetuju dengan rancangan itu, malah tambahnya adalah lebih baik bagi Sabah mengendalikan masalah itu sendiri.

“Malangnya semalam saya difahamkan kerajaan persekutuan telah menangguhkannya.”

Sabah menyerahkan kuasanya ke atas syarikat itu kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) 34 tahun yang lalu.

Pada Januari tahun lepas, Yeo Bee Yin, yang merupakan menteri tenaga, sains, teknologi, persekitaran dan perubahan iklim pada masa itu berkata, Kabinet persekutuan bersetuju untuk memulakan proses mengembalikan hak milik SESB kepada kerajaan Sabah.

Beliau juga berkata, proses itu akan memakan masa sekitar 2 tahun untuk diselesaikan.

Pada September, timbalan Yeo, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, proses itu berjalan lancar dan usaha wajar sedang dijalankan.

Katanya, perkara teknikal merupakan sebahagian besar daripada isu yang perlu ditangani.

Shafie berkata, Sabah akan terus berusaha menyelesaikan perkara itu.

“Kami harap ini dapat diteruskan untuk memastikan pengambilalihan (selesai), walaupun kosnya tinggi. Ini kerana saya tidak mahu rakyat kita terus berada dalam kegelapan,” katanya, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.