
Jerman lebih berjaya menangani penularan virus itu berbanding kebanyakan negara Eropah lain, tetapi seperti negara lain, jumlah kes meningkat secara ketara sepanjang cuti musim panas ini.
Sebahagian besar peningkatan itu berpunca daripada kepulangan pelancong, parti dan perjumpaan keluarga.
Angka terbaru dilaporkan Institut Robert Koch untuk penyakit berjangkit menjadikan keseluruhan kes meningkat kepada 228,621 kes sejak pandemik itu bermula.
Ia menyebabkan jumlah kes harian kembali ke tahap akhir April lalu, apabila pandemik itu dianggap berada di kemuncaknya.
Rekod harian kes baru di Jerman melebihi 6,000 kes, yang didaftarkan pada awal April.
Sepuluh kematian dilaporkan dalam 24 jam lalu, menjadikan keseluruhan 9,253 kematian setakat ini.
Berdepan lonjakan kes, Jerman memperkenalkan ujian saringan mandatori percuma kepada semua individu yang pulang dari kawasan dianggap berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19 pada awal bulan ini.
Canselor Angela Merkel pada Selasa memberi amaran tiada kelonggaran lanjut bagi sekatan koronavirus.
Beliau menggesa rakyat Jerman mematuhi peraturan kebersihan dan mengingatkan pelancong pulang dari kawasan berisiko yang kuarantin diwajibkan selagi ujian saringan mereka tidak menunjukkan keputusan negatif.
Namun, beberapa pakar berkata, lonjakan kes mungkin didorong peningkatan mendadak ujian saringan.