
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) melaporkan sebanyak 288 kes baru setakat Rabu tengah malam, menunjukkan terdapat peningkatan kes baru 3 digit setiap hari sejak seminggu lalu.
Keseluruhannya Korea Selatan melaporkan 16,346 kes dengan 307 kematian.
Penularan terbaru didorong oleh ratusan kes jangkitan di sebuah gereja dan tertumpu di Seoul dan kawasan persekitaran.
Minggu ini, kerajaan melarang sebarang aktiviti pertemuan gereja di kawasan itu, serta mengarahkan lokasi “berisiko tinggi” lain, termasuk kelab malam, pusat karaoke, kedai makan dan kafe siber ditutup.
Negara itu menggunakan pendekatan ujian pengesanan secara intensif untuk mengurangkan peningkatan kes sebelum ini, namun lonjakan kes baru-baru ini memberi kebimbangan kemungkinan berlaku penularan lebih luas di sekitar bandar metropolitan Seoul, yang menjadi kediaman lebih 25 juta penduduk.
Pihak berkuasa berkata, sekiranya jumlah jangkitan meningkat atau kekal pada kadar sedia ada, mereka akan menguatkuasakan peraturan penjarakan sosial di peringkat tertinggi, menyebabkan sekolah akan ditutup, pekerja dinasihatkan bekerja dari rumah dan aktiviti perhimpunan terhad kepada 10 orang.