
Peguamnya Sumitha Shaanthini Kishna memberitahu FMT, perkara itu dimaklumkan Jabatan Imigresen kepadanya ketika hadir menemui anak guamnya hari ini.
“Tiada sebarang pendakwaan dikemukakan ke atas anak guam saya. Dia akan dihantar pulang dengan segera selepas keputusan ujian Covid-19 keluar,” katanya memaklumkan tiket kapal terbang akan disediakan sebaik keputusan ujian diperoleh.
Sumitha berkata, dia lega Rayhan dibenarkan pulang ke negara asalnya.
“Keluarganya juga sedang berusaha untuk menemuinya semula,” katanya.
Minggu lalu Rayhan gagal mengemukakan permohonan memendekkan tempoh reman selama 13 hari dikenakan terhadapnya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan arahan atas faktor mempertahankan integriti negara.
Rayhan antara individu muncul dalam dokumentari Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan pada 3 Julai lalu.
Dokumentari itu turut mendakwa pihak berkuasa memberi layanan buruk kepada pendatang asing sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.
Rayhan ditahan pada 24 Julai lalu berhubung siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Permit kerjanya turut ditamatkan Jabatan Imigresen pada 8 Julai lalu.
Sementara itu, Al Jazeera disiasat atas pelbagai kesalahan termasuk perbuatan menghasut, memfitnah dan menyalahgunakan kemudahan rangkaian.