
Beliau berkata, tindakan akan diambil terhadap ketua polis daerah yang gagal melaporkan kegiatan haram itu.
Katanya, arahan itu bertujuan membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk membanteras aktiviti pemburuan haram.
“Mereka perlu memastikan kawasan masing-masing bebas daripada aktiviti penjualan haiwan eksotik dan flora secara haram,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah hari ini.
Sementara itu, Hamid berkata, polis membatalkan 3,500 daripada 8,500 syarat pemilikan lesen senjata api untuk memburu dalam usaha menghentikan pemburuan haram yang semakin berleluasa.
Katanya, baki syarat itu akan ditarik secara berperingkat.
“Syarat menjaga keselamatan kekal. Sekiranya individu itu ada tanah atau kebun dan mahu menjaga tanamannya daripada diganggu haiwan liar, kita benarkan.
“Mereka perlu ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan kebenaran khas bagi menjalankan aktiviti haiwan perosak seperti babi.”
Beliau berkata, polis juga sedang mengehadkan permit memburu hidupan liar.
“Bagaimanapun, permit tersebut hanya diberikan kepada Orang Asli kerana mereka melakukan aktiviti pemburuan haiwan itu hanya untuk dijadikan makanan.
“Tindakan berkenaan kerana senjata itu boleh diubah suai menjadi senjata automatik.”