
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, bagaimanapun cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan.
“Cadangan ini untuk mengelakkan lambakan projek perumahan yang sudah siap dibina terus terbiar tanpa pembeli sehingga menjadi mangsa vandalisme dan kerosakan.
“Menjadi tanggungjawab setiap pemaju perumahan memastikan perumahan yang sudah siap dijual dan dihuni segera. Sebelum mendirikan rumah, mereka sepatutnya membuat perancangan teliti bagi memastikan tiada masalah selepas projek itu disiapkan.
“Kementerian sedang memperhalusi cadangan itu kerana pemaju tidak boleh sesuka hati mendirikan rumah tanpa perancangan teliti,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan cukai berkenaan akan dilaksanakan tahun depan.
Bagaimanapun, katanya kerajaan perlu membuat beberapa penelitian dari aspek undang-undang serta mengkaji rumah terbengkalai walaupun separa atau siap sepenuhnya.
“Kerajaan dalam perkara ini mempunyai tanggungjawab untuk membuat penguatkuasaan bagi memastikan pemaju akan isikan kekosongan rumah itu secepat mungkin.
“Dalam aspek ini kaedah pembayaran cukai ‘vacancy’ untuk 6 atau 9 bulan sedang diperhalusi,” katanya.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar memberitahu Dewan Rakyat kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pelaksanaan cukai pengosongan atau “vacancy tax” terhadap pemaju bagi mengenalpasti jumlah rumah yang terbiar tidak dijual di sekitar Lembah Klang.
Beliau menjawab soalan ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada cukai itu yang sudah diguna pakai di beberapa bandar raya utama dunia antaranya di Vancouver, Kanada dan Melbourne, Australia akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan di negara ini.