Kerajaan kaji wajib penggunaan aplikasi MySejahtera

Kerajaan kaji wajib penggunaan aplikasi MySejahtera

Redzuan Md Yusof berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara dan Majlis Keselamatan Negara mengenai kaedah melaksanakan langkah itu.

Penggunaan aplikasi MySejahtera ialah satu daripada cara orang ramai mendaftarkan butiran peribadi sebelum memasuki premis.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang berusaha mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera dan menyingkirkan pendaftaran manual data peribadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Redzuan Md Yusof berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara dan Majlis Keselamatan Negara mengenai kaedah melaksanakan langkah itu.

Katanya, aplikasi MySejahtera sebahagian daripada budaya baru yang diperkenalkan kerajaan untuk memastikan rakyat mematuhi SOP bagi membendung penularan Covid-19.

Redzuan Md Yusof

Beliau menjawab pertanyaan Lee Boon Chye (PH-Gopeng) berhubung kekangan dihadapi kerajaan dalam melaksanakan MySejahtera, khususnya dalam mengesan kontak rapat kerana masih ada kes baru dikesan sehingga generasi ke-3 seperti dalam kluster Sivagangga dan Tawar di Kedah.

Redzuan berkata, pengguna aplikasi MySejahtera mencecah 15.1 juta orang setakat 16 Ogos lalu, dengan 322 daripadanya didapati positif Covid-19.

“Ini membuktikan aplikasi ini dapat membantu kerajaan mengawal penularan wabak melalui peranan yang sama-sama dimainkan oleh kita semua.”

Katanya, aplikasi itu yang mengandungi banyak fungsi lain, termasuk pengesanan hotspot, dapat membantu KKM melakukan pengesanan kontak rapat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.