Kanak-kanak 7 tahun maut jatuh dari tingkat 4 flat

Kanak-kanak 7 tahun maut jatuh dari tingkat 4 flat

Difahamkan, mangsa yang tinggal bersama neneknya dikatakan terjatuh dari beranda dapur.

Polis menghantar mayat kanak-kanak 7 tahun ke Hospital Queen Elizabeth 2 untuk bedah siasat.
KOTA KINABALU:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun maut selepas terjatuh daripada tingkat 4 sebuah flat di Batu 2, Jalan Tuaran, di sini, malam tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam dan mangsa yang tinggal bersama neneknya dikatakan terjatuh dari beranda dapur.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata ketika kejadian, nenek mangsa berusia 52 tahun itu di dalam tandas.

Katanya, wanita itu hanya menyedari kejadian berkenaan selepas terdengar jeritan orang ramai dari tingkat bawah.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth 2.

“Ibu bapa mangsa yang bekerja sebagai pembersih awam tinggal di rumah lain, tetapi di flat sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Habibi berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.