
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 3 adalah penularan dalam negara dan 4 kes import.
“Antara kes tempatan melibatkan 1 daripada kluster Tawar dan 2 kes kluster Sala.
“Manakala, bagi kes import yang mendapat jangkitan di luar negara membabitkan 2 warga Malaysia dan 2 bukan warganegara iaitu dari Bangladesh dan United Kingdom,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata 26 pesakit disahkan sembuh hari ini manakala 192 pesakit Covid-19 dirawat di seluruh negara.
Jumlah kematian kekal 125 orang.
Sementara itu, 8 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 2 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Setakat ini, Malaysia merekodkan 9,219 kes Covid-19 dengan 8,902 daripadanya sembuh.
Mengenai jangkitan kluster Tawar, Hisham berkata jumlah kes positif Covid-19 bagi kluster itu adalah 47 kes termasuk 1 yang dilaporkan hari ini.
“Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 1,490 orang disaring dalam kluster ini,” katanya.
Di Kedah seramai 1,195 disaring dengan 40 kes dikesan positif Covid-19, manakala 858 individu negatif, sementara 297 masih menunggu keputusan.
Di Pulau Pinang seramai 286 disaring dengan 7 kes dikesan positif manakala 216 individu negatif dan 63 individu masih menunggu keputusan.
Di Perak, seramai 9 individu disaring dengan 9 individu didapati negatif.
Bagi kluster Sala, jumlah terkini positif Covid-19 sebanyak 8 kes dengan seramai 635 individu disaring sehingga 12 tengah hari tadi.
Hisham menjelaskan, punca jangkitan kluster Tawar dan Sala masih dalam siasatan namun hasil siasatan ke atas kes positif kedua-dua kluster ini mendapati penularan jangkitan disumbang beberapa faktor umum.
“Penularan jangkitan dalam kluster Tawar didapati disumbang oleh perhimpunan dalam kalangan ahli keluarga yang tidak sepenuhnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Bagi kluster Sala pula, kes indeks mempunyai sejarah menziarahi pesakit di sebuah hospital bersama beberapa ahli keluarga beliau.
“Walaupun tiada kes positif yang dikesan daripada saringan di hospital tersebut, namun semua ahli keluarga yang pergi bersama kes indeks menziarah pesakit itu dikesan positif.
“Jangkitan Covid-19 seterusnya merebak kepada kontak rapat kes indeks dan ahli keluarga beliau,” katanya.