
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini bermakna masyarakat perlu berwaspada dan lebih berhati-hati kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini sudah dikesan di Malaysia.
“Ia didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak, sekiranya disebar oleh individu ‘super spreader’.
“Setakat ini, kedua-dua kluster ini didapati agak terkawal hasil tindakan kawalan kesihatan awam yang pantas.

“Ujian awal ini dan beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji beberapa kes lain, termasuk bagi kes indeks kedua-dua kluster ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hisham berkata, mutasi D614G ini ditemui saintis bulan lalu dan mungkin menyebabkan kajian vaksin sedia ada tidak merangkumi atau berkesan terhadap mutasi ini.
Oleh itu, beliau menyeru rakyat terus mengamalkan pencegahan dan kawalan kesihatan awam, iaitu mematuhi SOP penjarakan fizikal, kebersihan kendiri dan memakai pelitup muka.
“Situasi terkini Covid-19 didapati masih terkawal dan Kementerian Kesihatan serta agensi lain masih berusaha membendung penularan Covid-19.
“Kerjasama masyarakat amat diperlukan agar kita sama-sama memutuskan penularan jangkitan Covid-19 daripada segala jenis mutasi.”