Menteri cadang pengusaha hotel bajet ‘lebih kreatif’ tarik pelancong

Menteri cadang pengusaha hotel bajet ‘lebih kreatif’ tarik pelancong

Penggiat industri pelancongan masih terkesan dengan penutupan perniagaan ketika pelaksanaan PKP.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berharap pelancong domestik akan sentiasa mengamalkan SOP ketika melancong, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi setempat. (Gambar Bernama)
KOTA TINGGI:
Pengusaha hotel bajet disaran berbincang dan mencari pendekatan “lebih kreatif” untuk menarik semula minat pelancong menginap di hotel mereka, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.

“Saya cadangkan mereka mengadakan perbincangan supaya boleh tampil dengan resolusi untuk mereka memperbaiki situasi bagi meningkatkan kadar penghunian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan pertemuannya dengan penggiat industri di Langkawi baru-baru ini, mereka mengakui masih terkesan dengan penutupan perniagaan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Terdahulu, Nancy menyertai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Johor Hasni Mohammad melawat pembangunan Desaru Coast Destination Resort di sini.

Nancy Shukri

Dalam pada itu Nancy berkata wujud peningkatan kepada trend pelancongan domestik.

“Dalam tempoh, terutamanya 5 minggu kebelakangan ini, kita dapat melihat peningkatan pada hujung minggu dan cuti sekolah.

“‘Cuti-cuti Malaysia’ amat menggalakkan kerana kita nampak ramai yang pergi bercuti, terutamanya di hotel berdekatan laut dan mempunyai tawaran menarik,” katanya.

Meskipun terdapat peningkatan kes Covid-19, beliau berkata, kesedaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) adalah amat tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Jadi sebab itu kita masih dapat mengatakan Malaysia adalah destinasi yang selamat untuk dilawati sebab kalau kita bandingkan dari segi peratusan, Malaysia masih jauh di bawah dari segi kes positif (Covid-19),” kata Nancy.

Sehubungan itu, beliau berharap pelancong domestik akan sentiasa mengamalkan SOP ketika melancong, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi setempat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.