Wakil Pejuang ‘underdog’ dalam PRK Slim, kata Mukhriz

Wakil Pejuang ‘underdog’ dalam PRK Slim, kata Mukhriz

PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon BN Mohd Zaidi Aziz dengan calon Bebas S Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir berkata, calon Bebas yang mewakili Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berdepan cabaran sukar dalam PRK Slim.
TANJUNG MALIM:
Calon Bebas pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Pejuang dijangka berhadapan dengan cabaran yang amat sukar, kata ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir.

Katanya, Pejuang perlu memaklumkan kepada pengundi kawasan itu berhubung perjuangan dan agenda parti berkenaan, yang sehingga kini masih belum didaftarkan secara rasmi.

“Kita merupakan ‘underdog’ sebab kita berdepan dengan Barisan Nasional (BN), tentunya BN mempunyai jentera begitu besar dan begitu teratur serta mempunyai sumber yang banyak.

“Tetapi kita sebagai parti yang baru sahaja nak mendaftar, ini calon (Amir Khusyairi) pertama kami dalam perjuangan politik baharu yang hendak kami lakarkan ini,” katanya ketika ditemui pemberita ketika membantu kempen Amir Khusyairi di sekitar kawasan pekan Slim di sini, hari ini.

Pada 7 Ogos, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baru yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), yang sehingga kini dikenali dengan nama Pejuang.

Mahathir dilaporkan berkata, parti itu akan dipimpin oleh Mukhriz sebagai presiden.

PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib dari BN, pada 15 Julai lepas, menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon BN Mohd Zaidi Aziz, 43, calon Bebas S Santharasekaran, 44, dan Amir Khusyairi, 38.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.