Polis tahan suami isteri tanggal gelang kuarantin, keluar dari kawasan Temco

Polis tahan suami isteri tanggal gelang kuarantin, keluar dari kawasan Temco

Polis berkata, pasangan itu keluar menerusi laluan tikus untuk membeli barang di Pekan Kuala Nerang, tetapi berpatah balik separuh jalan.

Pasangan berusia 50-an itu ditahan pada 5 Ogos lalu, selepas polis menerima laporan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap yang mendapati mereka tiada di rumah ketika pemeriksaan dijalankan. (Gambar KKM)
KUALA NERANG:
Sepasang suami isteri yang keluar dari kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (Temco) di Kampung Ulu, Padang Sanai, dekat sini untuk ke pekan membeli barang, tetapi berpatah balik separuh jalan, ditahan polis di rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Mulkiaman Manzar berkata pasangan berusia 50-an itu ditahan pada 5.30 petang 5 Ogos lalu, selepas pihaknya menerima laporan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap yang mendapati pasangan itu tiada di rumah ketika pemeriksaan dijalankan.

“Pasangan ini menanggalkan gelang merah jambu dan putih sebelum keluar menerusi laluan tikus (menggunakan) motosikal dengan alasan untuk membeli barang.

“Polis kemudiannya bertindak menahan pasangan itu di rumah, selepas mereka membatalkan hasrat ke Pekan Kuala Nerang dan hanya pergi separuh jalan.

“Saya mengingatkan penduduk tidak keluar ke kawasan lain bagi mengelak risiko penyebaran Covid-19,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata, pasangan itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara 6 bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memperuntukkan kuasa kepada pegawai memerintahkan individu untuk diasingkan di rumah dan mematuhi semua perintah.

“Jika sabit kesalahan, mereka juga boleh berdepan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya. Kertas siasatan kes ini sudah siap dan diserahkan ke pejabat timbalan pendakwa raya negeri untuk tindakan lanjut.”

Mulkiaman berkata, polis melaksanakan 4 sekatan jalan yang menghubungkan 4 kampung di daerah itu, iaitu Kampung Ulu, Kampung Kubang Palas, Kampung Seberang dan Kampung Chenderai bersama Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Sukarelawan.

“Polis sudah mengenal pasti laluan tikus di Kampung Ulu dan mengenali semua penduduk kampung berkenaan yang dianggarkan 300 orang membabitkan 50 rumah, sekali gus memudahkan kawalan dilakukan.”

Beliau berkata, 378 individu disaring membabitkan 306 individu di Kampung Ulu, Padang Sanai dan 72 individu yang pernah berkunjung ke Kampung Ulu atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif setakat kelmarin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.