Penguatkuasa sudah lama ‘payung’ pusat judi, kata penganalisis

Penguatkuasa sudah lama ‘payung’ pusat judi, kata penganalisis

Disebabkan itu masalah berkenaan seolah-olah tiada penghujung malah semakin banyak premis baru muncul dan dijadikan lokasi untuk kegiatan perjudian.

Penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata penguatkuasaan perlu tegas dan serius untuk membanteras kegiatan perjudian daripada berleluasa.
KUALA LUMPUR:
Segelintir penguatkuasa dikesan sudah lama menjadi “pelindung” kepada premis perjudian menyebabkan kegiatan itu masih berleluasa.

Penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, disebabkan itu masalah berkenaan seolah-olah tiada penghujung malah semakin banyak premis baru muncul dan dijadikan lokasi untuk kegiatan perjudian.

“Faktor menjadi ‘pelindung’ ini menjadi punca yang menghalang tindakan penghapusan kewujudan premis perjudian.

“Kelemahan dari segi integriti dan amanah dalam kalangan pasukan penguatkuasa menjadikan mereka (sindiket perjudian) semakin bermaharajalela menjalankan operasi,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Shahul berkata, imbuhan lumayan yang diberikan oleh sindiket perjudian juga menjadi faktor premis berkenaan kebal.

“Sebenarnya, kegiatan ini boleh dihapuskan, banyak maklumat boleh didapati, namun segelintir pegawai penguatkuasa yang tidak berintegriti menyebabkan premis ini masih beroperasi.

“Penguatkuasaan perlu tegas dan serius untuk membanteras kegiatan ini daripada berleluasa. Jangan ikut musim sahaja (penguatkuasaan), buat pemantauan secara serius dan mengambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pengarah penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhubung kes melindungi perniagaan haram dan perjudian di Sungai Buloh hari ini.

Terdahulu, 3 penguatkuasa MBSA direman 6 hari kerana disyaki menjadi sebahagian daripada sindiket sama hari ini.

Ia selepas 4 penguatkuasa dan seorang peniaga direman 7 hari Rabu lalu, manakala seorang penolong pegawai penguatkuasa direman 7 hari semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.