300 mangsa rugi lebih RM30 juta kena tipu beli ‘online’

300 mangsa rugi lebih RM30 juta kena tipu beli ‘online’

Punca utama ramai pengguna ditipu kerana sejak pelaksanaan PKP mereka lebih banyak menjalankan urusan pembelian dalam talian.

Ketua biro kebajikan MTPN Kenta Goh berkata, pihaknya menerima aduan itu daripada mangsa di 5 negeri dengan Johor dan Selangor mencatatkan jumlah aduan serta kerugian paling tinggi diikuti Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan. (Gambar Rawpixel)
GEORGE TOWN:
Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menerima 300 aduan mengenai penipuan berkaitan pembelian dalam talian membabitkan jumlah kerugian lebih RM30 juta sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan sekitar Mac hingga Julai lalu.

Ketua biro kebajikan MTPN Kenta Goh berkata, pihaknya menerima aduan itu daripada mangsa di 5 negeri dengan Johor dan Selangor mencatatkan jumlah aduan serta kerugian paling tinggi diikuti Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kami agak terkejut dengan aduan diterima kerana mangsa bukan mengalami kerugian dalam jumlah yang kecil, sebaliknya membabitkan nilai besar urusan pembelian dalam talian sebab itu jumlah keseluruhan ditipu menjangkau lebih RM30 juta.

“Punca utama ramai pengguna ditipu dalam talian kerana sejak pelaksanaan PKP, orang ramai lebih banyak menjalankan urusan pembelian dalam talian. Malah ada yang percaya dengan jualan murah dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian MTPN Cawangan Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya sebagai badan bukan kerajaan (NGO) bertindak membantu pengguna dengan menyalurkan bantuan khidmat nasihat serta menjadi orang tengah antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP), polis dan pengguna.

Katanya, penubuhan MTPN juga untuk melindungi hak pengguna dan menyebarkan maklumat mengenai isu kepenggunaan kepada penduduk negeri ini.

Beliau berkata, Pulau Pinang yang merupakan cawangan ke-6 MTPN menyasarkan keahlian sekitar 3,000 orang menjelang hujung tahun ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.