Muhyiddin: Kerajaan mahu lonjak berganda ekonomi Bumiputera

Muhyiddin: Kerajaan mahu lonjak berganda ekonomi Bumiputera

Ia akan dilaksanakan melalui Majlis Kemakmuran Bumiputera sebagai platform tertinggi memperkasa pembangunan sosio-ekonomi.

Menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, Teraju akan menjadi agensi penyelaras utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ekonomi Bumiputera akan diberi lonjakan berganda menerusi pembentukan budaya keusahawanan di pelbagai peringkat untuk menjadikan mereka bangsa usahawan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, ia akan dilaksanakan melalui Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) sebagai platform tertinggi untuk memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera, selain pemupukan budaya keusahawanan secara bersepadu.

“Saya juga memutuskan supaya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) menjadi agensi penyelaras utama pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera.

“Teraju akan menjadi penyelaras tunggal bagi pangkalan data Bumiputera merentas kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) yang bertanya mengenai langkah kerajaan meningkatkan ekonomi Bumiputera, khususnya kerana semakin ramai golongan itu menganggur dan tanpa menyalahkan orang lain.

Mengulas soalan tambahan Mujahid berhubung pendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN)mengenai kempen Beli Produk Muslim (BMF), Muhyiddin berkata, fokus kerajaan adalah untuk meningkatkan dan memulihkan kembali ekonomi rakyat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Katanya, selain BMF, kerajaan memberi fokus untuk meningkatkan tahap pembelian rakyat, termasuk melalui Kempen Beli Barangan Malaysia.

Muhyiddin berkata, Kempen Beli Barangan Malaysia baru sahaja dilancarkan dan bertujuan untuk merangsang semula pembelian produk yang dikeluarkan rakyat tempatan.

“Keutamaan pastilah barangan halal kerana sebahagian yang terlibat dalam kempen ini adalah usahawan Bumiputera sendiri.

“Jadi saya harap dengan usaha yang kita gerakkan ini akan membangkitkan minat baru untuk terus melanggan barangan kita sendiri kerana ia jauh lebih baik, berkualiti dan kerana harganya saya kira mampu dibeli oleh orang Malaysia sendiri,” katanya.

Muhyiddin berkata, secara perbandingan, insiden kemiskinan Bumiputera adalah 7.2% pada 2019, berbanding kaum Cina 1.4% dan India 4.8%.

“Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat adalah 16.2%pada tahun 2015 berbanding bukan Bumiputera sebanyak 30.7% dan pegangan asing 45.3%.

“Kadar pengangguran Bumiputera adalah 3.7% pada tahun 2019 berbanding purata nasional 3.3%,” katanya.

Katanya, kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) akan memberi fokus untuk turut melakukan lonjakan berganda dalam pendidikan dan modal insan, khususnya dalam kalangan keluarga B40 dan M40 Bumiputera.

“Pemberian biasiswa, program pemupukan dan pembangunan, serta bimbingan kepada modal insan Bumiputera akan diperluas kepada semua peringkat.

“Beberapa kaedah lain seperti dasar ‘Carve Out & Compete’, KPI atau sasaran pencapaian Bumiputera bagi setiap kementerian, jabatan, agensi dan GLC serta perolehan ekuiti dan aset strategik juga akan dimantapkan,” katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan komited untuk menjayakan agenda Bumiputera melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan dibentangkan pada awal tahun depan.

“Saya berkeyakinan sekiranya semua pihak menumpukan sepenuh usaha untuk menjayakan semua perancangan yang telah saya sebutkan tadi, kita akan mampu melonjakkan taraf sosio-ekonomi Bumiputera tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum lain untuk menikmati kemakmuran negara secara bersama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.