Kluster Sivagangga: Pemilik restoran nasi kandar Salleh dipenjara 5 bulan, denda RM12,000

Kluster Sivagangga: Pemilik restoran nasi kandar Salleh dipenjara 5 bulan, denda RM12,000

Beliau mengaku bersalah terhadap 4 pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian sehingga mencetuskan kluster Sivagangga.

Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, dituduh meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan terhadapnya di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu dihukum penjara 5 bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terhadap 4 pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lepas sehingga mencetuskan kluster Sivagangga.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun menjatuhkan hukuman itu terhadap Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, pada sesi pertuduhan khas yang diadakan di Hospital Lama Alor Setar di sini, tempat tertuduh dikuarantin selepas didapati positif Covid-19.

Nezar Mohamed dituduh meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan terhadapnya di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di premis Bank Rakyat cawangan Jitra pada 4.40 petang; di premis Agro Bank cawangan Jitra pada 3.58 petang; di premis Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 3.35 petang dan di premis Public Bank cawangan Jitra pada 3 petang, 14 Julai lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Nezar Mohamed dijatuhi hukuman penjara 5 bulan, menjadikan jumlahnya 20 bulan, bermula hari ini dan denda RM,3000 bagi setiap pertuduhan dan hanya perlu menjalani hukuman penjara 5 bulan selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Zabidah memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan rakyat agar tidak melanggar perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Katanya, tertuduh menyebabkan kesihatan awam terjejas dengan tercetusnya kluster Sivagangga pada 28 Julai lepas, melibatkan 3 daerah di Kedah (Kubang Pasu, Kulim, Padang Terap), 1 daerah di Perlis (Kangar) dan 2 daerah di Pulau Pinang (Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah).

“Ekonomi negara juga terjejas kerana kluster Sivagangga menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM1 juta di kawasan Temco (perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar) daerah Kubang Pasu sahaja dan menyebabkan keresahan dan kebimbangan kepada masyarakat umum,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.