
Rampasan itu susulan penahanan sebuah bot kargo oleh agensi berkenaan kira-kira 11 malam ketika melakukan operasi di kedudukan 24 batu nautika barat laut, Pulau Usukan, Isnin lalu.
Pengarah APMM Sabah dan Labuan Mohd Rosli Abdullah berkata, kehadiran bot kargo yang berdaftar di Mongolia itu dikesan menerusi sistem pengawasan laut maritim (Swasla) yang mendapati ada objek mencurigakan di kawasan perairan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tekong bersama 4 kru warga India dan 2 kru warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 50 tahun berada di atas bot berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati bot itu membawa muatan rokok putih dianggarkan 650,000 kotak kecil dari Vietnam yang disyaki barang larangan bernilai RM2.6 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosli berkata, berdasarkan dokumen, rokok itu akan dihantar ke Miri, Sarawak dan Balik Papan, Indonesia.
Katanya, selain itu dokumen pelayaran bot juga meragukan dan tiada rekod senarai kru.
“Bagaimanapun tekong dan kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan semua mereka kemudian dibawa ke jeti APMM di Sepanggar untuk siasatan lanjut serta menjalani ujian saringan Covid-19.
“Pegawai dan anggota maritim yang terbabit dengan operasi itu juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.